Play all audios:
MELAKA: Lima premis makanan di sekitar daerah Melaka Tengah diarah tutup serta-merta selepas didapati terlalu kotor, termasuk dikesan mempunyai najis tikus dan lipas. Arahan mengikut Seksyen
11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan dalam Ops Tom Yam disertai 30 pegawai Jabatan Kesihatan negeri pada jam 8 hingga 10 malam tadi. Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali
Othman, berkata daripada lapan premis yang diperiksa, lima yang masing-masing terletak di Batu Berendam, Bachang, Peringgit, Bukit Serindit dan Bukit Baru diarah tutup serta-merta apabila
pegawai kesihatan menjumpai najis tikus dan beberapa lipas berkeliaran. "Kesalahan lain ialah kerana pengendali makanan warga asing yang tidak diketahui status kesihatan mereka dan
tidak mengambil suntikan tifoid," katanya ketika ditemui, hari ini. Antara kesalahan lain yang dikesan adalah peti sejuk tidak berfungsi dengan baik dan persekitaran premis makanan yang
tidak bersih serta tidak terurus. Ghazali berkata, sebanyak 13 kompaun bernilai RM4,500 dikeluarkan mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dalam operasi berkenaan. "Kelima-lima
premis makanan itu diarah tutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing dan jika ada yang ingkar, mereka akan didakwa," katanya.