Play all audios:
Mengubah persepsi rakyat Malaysia terhadap kerajaan dan ahli politik sukar dilakukan memandangkan kita sudah menjalani dua fasa pemerintahan berbeza di bawah Barisan Nasional (BN) dan
Pakatan Harapan (PH). Justeru, kerajaan baharu perlu sedar budaya politiking agak tinggi dalam kalangan rakyat, terutama dalam penyertaan politik dalam talian, iaitu melalui penggunaan media
sosial. Ia menjana penghujahan politik pada peringkat bawahan yang menggabungkan pelbagai golongan seperti kumpulan kelas pertengahan, media persendirian, pelajar universiti, pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara, penulis blog serta masyarakat sivil yang melahirkan aktivis masyarakat. Ahli politik masih lagi kurang menguasai cara dan teknik penyampaian
maklumat dalam konteks pembabitan dalam diskusi masyarakat. Jika mekanisme itu tidak diperkukuhkan atau dirangka secara strategik antara ahli politik dengan rakyat dan media, kelancaran
pentadbiran kepemimpinan baharu akan berdepan kesukaran. Literasi penggunaan media sosial dan tahap pembabitan antara ahli politik dengan rakyat amat penting. Saya melihat tahap penggunaan
platform media sosial dalam kalangan ahli politik masih ketinggalan. Ada ahli politik langsung tidak mempunyai platform media sosial dan ada hanya selektif dalam penggunaan platform
berkenaan. Malah, ada yang hanya aktif dalam penggunaan media sosial WhatsApp sedangkan pengaruhnya hanya membabitkan golongan atau kumpulan yang terhad. Sebagai ahli politik, mereka perlu
tahu senario penggunaan media sosial di negara ini. Mengikut Digital 2019, Malaysia menduduki tangga kelima di dunia dan tangga pertama di Asia Tenggara dari segi penguasaan platform media
sosial. Hampir lapan jam digunakan untuk melayari internet dengan tiga jam daripadanya hanya untuk melayari platform media sosial. Ini menunjukkan hampir 80 peratus rakyat kita menggunakan
platform media sosial. Adalah disarankan kepada semua ahli politik mempunyai platform media sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat. Dalam konteks literasi media sosial juga, sesuatu
hantaran (posting) perlu berbentuk komuniti keterlibatan dan bukan mengungkit kemarahan atau emosi sesiapa. Ini kerana hantaran media sosial akan menggambarkan personaliti, kredibiliti dan
reputasi seseorang ahli politik, sekali gus melambangkan imej parti politik berkenaan. Kita perlu berganjak daripada budaya politik tidak sihat dalam media sosial. Ia akan merugikan kita
kerana persengketaan boleh berlaku antara parti dan pengikut yang turut mengundang komen netizen. Jadi, ahli politik perlu menjadi contoh baik kepada rakyat. Ketiga, bagaimana ahli politik
dan parti politik menguruskan media sosial dengan lebih baik. Apa yang penting, soal keterlibatan mereka dengan rakyat. Kita lihat banyak laman web kementerian disediakan, namun ia tidak
meraih populariti dalam kalangan rakyat khususnya bagi tujuan pendedahan terhadap program dibuat sesuatu kementerian. Ukuran populariti tidak boleh hanya berdasarkan _pages hits _dan
_likes_, sebaliknya sejauh mana kementerian bertindak balas terhadap komen dilontarkan. Ia mungkin agak banyak, tetapi mereka perlu mampu membuat pemilihan terbaik untuk menyaring isu yang
sering diungkitkan rakyat. Apabila sesuatu isu tidak dijelaskan dengan betul, ia akan menjadi persepsi berpanjangan yang mana akan mengambil masa lama untuk membetulkan persepsi terbabit.
Berikutan penguasaan media sosial dalam kalangan rakyat adalah tinggi, kewaspadaan seseorang ahli politik terhadap perkembangan teknologi gajet adalah penting. Mereka perlu sedar kewujudan
‘kelab peminat’ atau sebarang profil dan dakwaan palsu berhubung mereka serta parti mereka. Persoalannya adakah mereka cepat bertindak atau membiarkan isu berkenaan senyap begitu saja. Ini
akan wujudkan persepsi buruk berpanjangan. Sekadar wujudnya _cyber troopers_ tidak memadai dan ia tidak cukup kerana apa yang penting adalah ‘bagaimana mereka sebagai ahli politik secara
peribadi memainkan peranan penting dalam mencantas berita palsu’. Mungkin ada elemen pelabelan terhadap diri atau parti mereka atau hantaran dipalsukan yang memerlukan ahli politik bersedia
dengan strategi sesuai untuk mengelak penyebaran berita palsu. Ini termasuk pemberitaan antarabangsa. Sejauh manakah kerajaan pucuk pimpinan baharu boleh mencantas tuduhan dan tohmahan
berita antarabangsa yang mungkin menggunakan rujukan daripada sumber tidak sahih atau mempunyai agenda menjatuhkan dan menggulingkan kerajaan. Kerajaan pimpinan baharu perlu membuat tindakan
cepat dan tegas dalam penyebaran berita tidak betul kerana ia membabitkan imej dan kedaulatan negara dipersoal. Saya berasakan strategi komunikasi dan mekanismenya perlu diperkukuhkan. Jika
penyampaiannya salah, usaha dan dasar diterapkan kerajaan akan ketinggalan dan persepsi rakyat serta proses untuk mengembalikan keyakinan itu agak mustahil dilakukan. PENUILS ADALAH
PENGANALISIS POLITIK & MEDIA SOSIAL, FAKULTI KOMUNIKASI & PENGAJIAN MEDIA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UITM), SHAH ALAM