Play all audios:
KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terbukti memberi manfaat kepada semua
rakyat, termasuk penggiat seni dan kru belakang tabir yang terjejas akibat penularan COVID-19. Hilang punca pendapatan apabila aktiviti penggambaran terhenti sejak Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, artis termasuk pelakon pembantu yang tidak mempunyai pendapatan tetap, inisiatif PRIHATIN termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN), memberi banyak kelegaan.
Benarlah dikata Perdana Menteri, pakej PRIHATIN, yang peduli rakyat itu menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban rakyat dengan tiada golongan yang akan tercicir. Apatah lagi artis,
termasuk pelakon veteran yang jarang mendapat tawaran produksi, selain terpaksa bersaing dengan bakat muda. Tidak cukup itu, artis yang mendiami unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan
perumahan awam dikecualikan daripada membayar sewa selama enam bulan. Inisiatif ini memberi manfaat besar buat mereka yang perlu mengatur semula kehidupan terutama kewangan sejak PKP dan
fasa pemulihan sekarang. Pelakon Mak Wan yang terkenal dengan watak Mak Senah dalam drama _Kekasih Paksa Rela_ dan _Mak Limah_ dalam _7 Hari Mencintaiku_, bersyukur apabila skim PRIHATIN
memberi manfaat kepadanya yang menetap di PPR Jalan Silang, Kepong. Mak Wan, 58, atau nama sebenar, Halimaton Saadiah Mohd Daud, berkata pengecualian bayaran sewa selama enam bulan banyak
membantunya yang tiada pendapatan sepanjang tempoh PKP. "Bagi orang yang tiada kerja seperti saya, sangat bersyukur apabila tidak perlu membayar sewa selama enam bulan. Alhamdulillah,
buat sementara waktu, tidaklah runsing mencari duit. "Saya pun sudah lama tiada tawaran berlakon, apatah lagi sejak PKP. Jujurnya, sampai sekarang saya tidak menerima sebarang tawaran
berlakon. "Kalau ada kerja, dapatlah bayar sewa. Apabila difikirkan semula, memang saya perlu cari kerja untuk membayar sewa selepas tempoh pengecualian enam bulan ini berakhir,"
katanya yang mendiami unit Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Mak Wan yang juga dikenali sebagai Mak Wan Latah berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dan rakan artis seperti
Didie Alias, Lana Nodin dan Noorkhiriah yang sering menghulurkan bantuan. Bagi penghibur jalanan, Abot, yang pernah mendapat jolokan penyanyi alternatif wanita solo pertama Malaysia pada era
1990-an, hidup sebagai 'busker' mengajar dirinya percaya kepada takdir. "Kami buskers sudah dilatih dengan takdir. Kalau ada rezeki hari ini, adalah, kalau tiada, kita tunggu
rezeki lain hari," katanya kepada _BH_. Abot atau nama sebenar, Narimah Mohamad, 43, memberitahu, biarpun tabung simpanannya sudah habis digunakan, beliau bersyukur mampu memberi
keluarga makan. "Bukan pendapatan buskers sahaja terjejas, malah penyanyi pentas, kelab malam dan semua sektor lain. "Saya bersyukur kerana golongan B40 seperti kami mendapat
bantuan kerajaan seperti BPN selain sumbangan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan pihak lain. "Kita rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin. Jadi, kalau
hendak difikirkan, saya tidaklah terlalu susah ketika PKP kerana masih cukup makan," katanya. Banyak mengisi masa terluang ketika PKP dengan menguruskan rumah tangga dan menulis novel,
Abot kurang membuat persembahan atas talian. "Sesekali saya buat _online busking_ melalui akaun Facebook, The Chor Buskers. Saya jarang tampil kerana tidak selesa berkongsi maklumat
peribadi seperti nombor akaun bank. "Saya lebih banyak membuat kandungan untuk laman YouTube saya, Abotabotjac Channel. Kita boleh mendapat pendapatan melalui YouTube. Jadi, saya selalu
memuat naik video di saluran itu," katanya. Abot juga membuat persembahan program Muzik Dari Rumah, iaitu satu lagi inisiatif kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia
untuk penggiat seni menjana pendapatan. "Program ini berupa konsert digital yang boleh ditonton di YouTube Muzik Malaysia," katanya. Abot dan suaminya, Jac iaitu gitaris kumpulan
rock, FTG, aktif menjadi penghibur jalanan dengan menggelarkan diri mereka, The Chor Buskers sejak enam tahun lalu. Sementara itu, isteri peserta program realiti, Raja Lawak 5, Gbob, iaitu
Siti Aisyah Wahiddin, 38, bersyukur dengan BPN yang diterima suaminya yang terlantar di rumah selepas terjatuh dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Siti Aisyah berkata, bantuan
RM1,600 yang diterima mengurangkan beban kerana hanya dirinya mencari nafkah bagi menanggung keluarga. "Sumbangan itu saya guna untuk membeli susu suami dengan kos RM900 sehingga
RM1,000 sebulan. Suami tidak boleh makan kerana lehernya ditebuk untuk bantuan pernafasan, jadi dia bergantung pada susu itu sahaja. "Suami juga perlu mengambil ubat tambahan untuk
saraf. Ubat itu kami perlu beli sendiri kerana tidak dibekalkan doktor. Ini menambah perbelanjaan selain lampin perlu dibeli setiap bulan. "Alhamdulillah bantuan diterima dapat
mengurangkan tanggungan saya. Walaupun bukan diberi sekali gus, ia memadai untuk kami sekeluarga," katanya yang mengusahakan kedai dobi. Tambah ibu kepada Nur Humairah ini, Gbob akan
melalui pembedahan membuang ketulan di tekak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini. Gbob atau nama sebenar, Mohd Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumah akibat angin ahmar pada jam
1 pagi, 5 Mac lalu. Terharu dengan keprihatinan kerajaan, penyanyi, Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin bersyukur atas bantuan kewangan yang diterima daripada kerajaan. "Saya
sangat berterima kasih kepada kerajaan yang peka terhadap nasib rakyat. Dalam tak sedar, rupanya kerajaan memerhatikan saya, mereka memahami keadaan iaitu ibu tunggal yang perlu menanggung
enam anak. "Kerajaan juga faham artis seperti kami terjejas sejak penularan COVID-19. Bukanlah bermaksud kami tiada simpanan, tapi kalau dikikis, tabungan boleh habis," katanya.
Amelina berkata, dia juga dapat berjimat dengan bantuan kewangan diterima melalui Kerajaan Negeri Sembilan. "Saya tidak perlu keluarkan duit sendiri untuk memberi barangan keperluan
seperti beras, telur dan sebagainya. "Saya terima dengan hati yang besar dan sangat bersyukur dengan rezeki yang diberi," katanya.