Play all audios:
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, akur rezeki berpihak kepada Wany Hasrita untuk menggenggam trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31. Berlangsung di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober lalu, malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu menyaksikan Wany menjulang trofi berkenaan apabila meraih
2,052,997 undi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular. Sebelum itu, penyanyi lagu Luluh terbabit disebut-sebut antara artis yang mampu membawa pulang trofi utama berkenaan berdasarkan
pencapaiannya sejak akhir-akhir ini. Begitupun, jejaka berasal dari Perlis itu tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya mempertahankan kemenangan dalam kategori Penyanyi Lelaki
Popular, membolehkannya mengumpul sejumlah 18 trofi dalam bidang seni sehingga hari ini. “Saya sebenarnya sudah cukup gembira apabila dapat mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular yang
dimenangi tahun lalu. “Memang saya sedar harapan peminat yang mahu melihat saya memenangi trofi Bintang Paling Popular, kali ini. Namun, bukan rezeki saya pada malam itu. Apapun, saya
tumpang gembira dan bangga atas kejayaan teman seperjuangan, Wany,” katanya. Khai, 24, yang baru saja muncul dengan single berjudul #123 berkata, dia juga maklum sebahagian peminatnya kecewa
apabila gagal membawa pulang anugerah utama terbabit. “Saya cuma berharap mereka akan terus memandang ke hadapan. “Jujurnya, apabila memenangi sesebuah trofi, ia bukan sekadar tanggungjawab
dan menjadi pencetus semangat untuk saya terus menghasilkan sesuatu yang terbaik pada masa akan datang, malah dalam masa sama seakan-akan satu tekanan. “Peminat atau pemerhati di luar sana
mungkin berasakan, saya akan terus menang dan menang lagi,” katanya yang baru dua tahun menjadi anak seni. Khai bagaimanapun berkata, dia bertuah apabila terus mendapat sokongan padu
daripada penggemar seni hiburan, terutama kelab peminat, Khai Bahar Empire. “Saya berada pada tahap sekarang berkat sokongan dan undian mereka. Kegigihan masing-masing untuk memastikan saya
menang amat dihargai. Malah, saya tahu ada yang tidak cukup tidur sebab mengundi saya. “Kasih sayang saya buat mereka memang tidak berpenghujung, seperti tema ABPBH 31 sendiri, Infiniti,”
katanya.