Play all audios:
KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM17.8 bilion bon dan ekuiti Malaysia pada Mac 2020, aliran keluar bulanan tertinggi sejak Mei 2018 sejajar dengan aliran keluar modal daripada pasaran
baharu muncul di tengah-tengah kebimbangan COVID-19. Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata kejatuhan ketara dalam aliran asing pada Mac menyumbang kepada 1.8 peratus penyusutan
bulan ke bulan dalam ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu. Namun begitu, beliau berkata, jualan besar-besaran itu tidak seteruk yang dihadapi ketika krisis
kewangan global. “Langkah pelonggaran Rizab Persekutuan AS dalam beberapa minggu lalu juga membantu untuk menstabilkan kecairan bagi pasaran baharu muncul. “Justeru, kami tidak jangkakan
kelemahan ketara bagi ringgit dalam jangka terdekat, sebaliknya jika harga minyak mentah berdepan kejatuhan mendadak lagi atau yuan menyusut mendadak berikutan kelemahan ekonomi,"
katanya dalam nota penyelidikannya. Pelabur asing menjual bon Malaysia berjumlah RM12.3 bilion pada Mac 2020, sekali gus menjadikan jumlah terkumpul jualan sebanyak RM16.9 bilion pada suku
pertama 2020. Dalam pasaran ekuiti pula, pelabur asing menjual RM5.5 bilion ekuiti pada Mac, sekali gus menjadikannya penjualan bulanan terbesar sejak Mei 2018. Jumlah itu menjadikan aliran
keluar dana asing daripada ekuiti Malaysia kepada RM7.6 bilion pada suku pertama 2020. Namun begitu, pemilikan asing dalam ekuiti Malaysia kekal stabil pada paras 22.3 peratus daripada
permodalan pasaran bulan lalu.